Tuesday, 31 July 2012

Perkongsian - Hadith

Semasa aku masih bersekolah, aku selalu mengikut papa (arwah), tidak kira sama ada ke pasar atau atas urusan lain yang perlu diselesaikan. Suatu ketika, jalam jem dan perjalanan agak perlahan. Papa berhenti dan memberi laluan kepada kereta yang nak masuk ke laluan mereka, biasanya yang nak masuk simpang di kiri kami, dari arah bertentangan. Bila banyak kali berlaku macam tu, aku mula bertanya, "kenapa papa suka berhenti dan bagi orang tu lalu?", sambil senyum dia menjawab, "bila kita lapangkan jalan orang, nanti orang lapangkan jalan kita." Tidak puas hati dengan jawapan itu, aku berkata, "bukannya nanti orang tu ingat atau perasan yang kita dah tolong dia tadi". Papa menjawab, "Allah kan ada, nanti Allah bukakan hati orang lain tu untuk tolong kita, tak semestinya orang yang sama".

Kata-kata papa itu tersemat kukuh dalam hatiku, sehingga kini. Tambahan pula, sekarang duduk di kawasan yang lalulintas agak sibuk, menuntut keprihatinan dan belas ehsan orang sekeliling untuk sama-sama selamat tiba ke destinasi. Ayat yang sama aku telah dan akan sering sebutkan kepada anak-anakku, dan mereka tahu, pesanan itu datangnya dari datuk mereka.

Semasa papa berpesan, dia tidak menyebut mana-mana hadis, tapi dia ada kata, ianya adalah pesanan Rasulullah s.a.w. Oleh itu, di sini dikongsikan ayat tersebut, moga menjadi panduan bersama.


و عن ابن عمر رضى الله عنهما ان رسول الله (ص) قال: المسلم اخوالمسلم لا يظلمه ولا يسلمه، من كان في حاجة اخيه كان الله في حاجته ، ومن فرّج عن مسلم كربة فرّج الله عنه بها كربة من كرب يوم القيامة، ومن ستر مسلما ستره الله يوم القيامة.

Dari Ibnu Umar r.a bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda; ‘seorang muslim itu adalah saudara orang muslim yang lain, janganlah ia menganiaya saudaranya itu, jangan pula menyerahkannya kepada musuh. Barangsiapa memberikan pertolongan pada hajat saudaranya, maka Allah selalu memberikan pertolongan pada hajat orang itu. Dan barangsiapa yang melapangkan kepada seseorang Muslim akan satu kesusahannya, maka Allah akan melapangkan untuknya satu kesusahan dari sekian banyak kesusahan pada hari kiamat. Dan barangsiapa yang menutup cela seseorang muslim, maka Allah akan menutup celanya di hari kiamat..


Papa, walau telah lama kau pergi bertemu Pencipta, anak-anakmu tidak pernah lupakan segala kenangan dan pesanan-pesanan yang kau titipkan. Kau terlalu istimewa dan pergimu sangat kami rindui. Moga Allah tempatkan papa bersama orang-orang yang beriman dan beramal soleh...Amin!! Al-Fatihah untuk papa tersayang.

No comments:

Post a Comment

Silakan kongsi sebarang idea dan pendapat...