Tabahkah Aku

SATU

"Hari-hari Nini yang kena buat, adik tu tak buat apa-apa pun", gerutu Nini secara perlahan, tapi tangannya masih mengerjakan apa yang disuruh oleh ibunya, melipat kain baju yang baru diangkat dari jemuran.

"Lepas  siap yang tu nanti, pergi kedai Pak Mat ambil sisa-sisa makanan, dah petang ni", jerit ibu dari bilik.

Pak Mat adalah peniaga kedai makan, setiap petang Nini akan mengambil sisa makanan untuk diberikan pada ayam dan itik yang dipelihara oleh ibunya. Nini senyum riang, sememangnya ini adalah yang disukainya. Cepat-cepat dia selesaikan melipat kain dan menyimpannya ke dalam almari dengan kemas.

Lebar senyuman Nini melihat ayam dan itik menunggu kepulangan Nini bersama bungkusan sisa makanan. Lagi girang hati Nini apabila ayam dan itik mengekori langkahnya ke tempat makanan tersebut hendak diletakkan. Itulah hiburan Nini setiap hari, sambil mengusap kepala seekor demi seekor, dia akan bercakap dengan ayam dan itik itu. Mereka sangat jinak dengan Nini, kerana Ninilah yang selalu memberi mereka makan. Selepas makan ayam dan itik akan masuk ke reban masing-masing dan Nini jugalah yang akan menutup reban-reban mereka. Setiap pagi pula, Nini akan lepaskan semua ayam dan itik tersebut dari reban mereka. Telur-telur itik akan dikutip untuk dijual ke kedai runcit berhampiran. Itulah rutin Nini setiap kali cuti sekolah. Nini tidak dibenarkan keluar bermain dengan anak-anak kampung yang lain. Pada ibunya, Nini harus belajar cara untuk hidup berdikari sejak kecil lagi, supaya apabila besar nanti Nini tidak kekok untuk membuat sebarang kerja.

Nini kurang rapat dengan ibunya disebabkan oleh ibunya kerap memarahinya. Pada ayahlah tempat Nini bercerita kisah rakan-rakan sekelas dan lain-lain. Suatu hari sewaktu Nini pulang dari kelas Quran, ayah dan ibu Nini menanti dengan senyum gembira. Di tangan ayahnya ada sepucuk surat bersampul kuning bertulis Urusan Seri Paduka Baginda.

"Kenapa mak..ayah?", tanya Nini.

"Nah, bacalah sendiri", hulur ayahnya sambil tersenyum.

Nini membaca seketika dan dengan perlahan senyum menguntum di bibirnya.

"Alhamdulillah..", keluar rasa syukur di mulutnya apabila selesai membaca kandungan surat tersebut.

Nini ditawarkan ke sekolah berasrama penuh di Kota Bharu. Sememangnya keputusan Peperiksaan Penilaian Darjah Lima Nini tahun lepas amat cemerlang dengan mendapat 5A, maka layaklah Nini ditempatkan ke sekolah tersebut.

Setahun berlalu sejak Nini memasuki sekolah menengah, kini dia berada dalam tingkatan dua. Kehidupan Nini di asrama sangat tenang tanpa bebelan ibu, tapi Nini rindukan perhatian ayahnya. Seminggu sekali pastinya Nini akan menelefon untuk ‘memberi laporan’, sebagaimana janjinya dahulu.


Suatu hari Nini diberitahu oleh kawan baiknya, Tina bahawa ada seorang senior ingin berkenalan.

Nini hanya tertawa, wei, kita baru tingkatan dua la, tanak aku.”, tegas Nini. 

Ala ko ni, kawan je la”, ulas kawannya seperti terdesak. 

Aku kata tanak, tanak la, tak paham ke?” , Nini berlalu meninggalkan kawannya yang kecewa. 

Boleh dikatakan setiap hari Tina mengajukan perkara yang sama kepada Nini, sampai naik muak Nini mendengarnya, namun jawapan Nini masih sama. 

Hati Nini berkata, “mungkin pelajar senior itu mendesak Tina agaknya”. 

Nini sendiri tidak pernah bertanya siapakah senior yang dimaksudkan, tingkatan berapa dan lain-lain lagi.


Cuti pertengahan tahun sudah tiba, Nini sedang berkemas untuk menaiki keretapi pulang ke kampung.

Train ko pukul berapa Nini?” tiba-tiba Tina bersuara.

Pukul 8.30 malam, tapi biasa la aku keluar awal, lepas asar aku gerak, kalu lambat nanti susah nak dapat teksi atau bas nak ke stesen tu”.

Selepas menunaikan solat asar, Nini bersiap-siap untuk meninggalkan asrama. Potongan baju kurung corak batik dan tudung warna putih, pakaian rasmi asrama yang dikenakan amat sesuai dengan Nini.

Pukul berapa parents ko datang jemput?” tanya Nini.

Lepas solat dorang gerak dari rumah, dalam sejam sampai la, ko tanak aku hantar ke ni?”, sambung Tina.

Takpe la, aku dah biasa, kereta ayah kau tupun biasa penuh dah dengan adik-adik kau”, sahut Nini sambil tersenyum.

Rumah Tina ke sekolah hanya satu jam perjalanan menaiki kereta. Boleh dikatakan setiap ,minggu ayah dan ibu Tina akan datang menjenguk Tina di asrama. Ada saja buah tangan yang dibawa untuk Tina dan tidak ketinggalan Nini juga mendapat bahagian yang sama. Ibu dan ayah Tina amat senang Tina berkawan dengan Nini.


Beratnya beg ni”, rungut Nini sambil menjinjing beg besarnya turun dari bas.

Jauh la pulak stesen keretapi tu, takpe banyak masa lagi, jalan pelan-pelan je”, Nini bercakap seorang diri.

Mari saya tolong angkat”, tiba-tiba satu suara mengejutkan Nini.

Awak ni siapa, boleh tak jangan kacau saya”, sahut Nini lembut tapi tegas.

Saya nak tolong je, kebetulan saya pun nak ke stesen tu”, sahut si pemuda.

Jangan bimbang, saya ikhlas”, sambungnya lagi.

Pemuda tersebut terus mengangkat beg Nini dan berjalan, Nini dengan segera mengikut langkah pemuda itu. Hajat di hati nak juga dia membebel, suka-suka hati je angkat beg orang, tapi disebabkan begnya yang berat, maka Nini diamkan sahaja.

Berat jugak ek beg awak ni, cuti dua minggu je, tapi beg macam nak balik terus ni”, tiba-tiba pemuda itu bersuara.

Errkkkk.. buku tu, ada kerja sekolah nak kena buat, lepas cuti nanti ada exam”, jawab Nini.

Lain kali bawak beg sandang, letak buku dalam beg tu, tak la berat sangat nak angkat, beg jinjing ni taruk baju je, ringan sikit, kita dah sampai ni”, pemuda tu terus meletakkan beg Nini di kerusi kosong berhampiran dan berlalu meninggalkan Nini.

Terima kasih..”, jerit Nini.

Okay, no problem, sikit je”, sahut pemuda itu.

Alhamdulillah ada juga orang baik sekarang ni”, detik Nini di dalam hati.


******

DUA


Sepanjang cuti sekolah rutin Nini seperti biasa, sama seperti tahun-tahun lalu, cuma bezanya sekarang ibu Nini agak kurang meleterinya, mungkin juga kerana Nini telah agak dewasa dan telah faham bahawa setiap kerja harus dilakukan dengan ikhlas dan bertanggungjawab. Nini juga telah tahu membahagi masa untuk membuat kerja-kerja rumah dan masa untuk mentelaah pelajarannya. Cepat sungguh masa berlalu, sudah tiba masanya Nini untuk pulang ke asrama. Tiket keretapi telah awal-awal dibeli oleh ayah. Kebiasaanya waktu cuti-cuti sekolah tiket perlu dibeli sekurang-kurangnya sebulan awal untuk memastikan yang anaknya dapat pulang ke asrama mengikut tarikh dan waktu yang ditetapkan. Toooooottttt, toooootttttttttt.. bunyi hon keretapi menandakan ianya telah tiba di stesen. Tempoh yang diberikan untuk menaiki keretapi hanyalah 2 hingga 3 minit menyebabkan ibu dan ayah Nini tidak dapat menghantar Nini hingga ke dalam keretapi.

Nini pergi dulu.. ibu, ayah. Doakan Nini ye”, kata Nini sambil bersalam dengan ibu dan ayahnya. 

Nini juga mencium pipi adiknya yang memegang tangan ibu. 

Belajar rajin-rajin, jangan tinggal solat,” pesanan biasa seorang ibu. 

Perjalanan dari Mentakab ke Kota Bharu mengambil masa lebih kurang 8 jam dengan menaiki keretapi. Jam di tangan menunjukkan pukul 1.10 pagi, akibat terlalu mengantuk, Nini terus terlelap, tetapi dia masih ingat pesan ayah untuk sentiasa berhati-hati dengan semua barang yang dibawa. Bersamanya ada dua beg, satu beg sandang dan satu beg baju. Dia masih ingat pesanan pemuda yang membantu mengangkat begnya tempohari.


Sesudah solat subuh di surau yang disediakan dalam keretapi, Nini singgah ke koc kantin untuk membeli sebungkus milo panas. Sambil menghirup dia memandang suasana pagi hari di luar jendela keretapi. Bermacam-macam perkara yang bermain dimindanya, termasuklah bantuan pemuda yang baik hati tempohari. 

Haissshhhh kenapa aku terfikir dia pulak ni,”, bisik Nini sambil tersenyum. 

Tidak lama kemudian, keretapi yang dinaiki telah sampai ke destinasi yang di tuju, stesen Wakaf Bharu. Jam di tangannya menunjukkan jam 9.10 pagi, lewat 20 minit dari waktu yang dijadualkan. 

Sambil berjalan di platform, Nini berkata dalam hati, “ok juga dua beg macam ni, takla berat sangat”. 

Nak saya tolong?”, tiba-tiba satu suara mengejutkan lamunan Nini. 

Awak lagi, awak ikut saya ye?”, soal Nini. 

Tak la, kebetulan saya lalu, nampak awak, mmm dua beg nampak, ada kemajuan,”, ucap pemuda itu sambil tersenyum. 

Nak balik asrama ye, meh la saya tolong bawa satu,” sambil menghulurkan tangan. 

Nini agak serba-salah, tapi dengan pantas pemuda itu mengambil beg dari tangan Nini, dan Nini hanya tersenyum. Sepanjang jalan mereka hanya mendiamkan diri, Nini sememangnya seorang yang agak pemalu apabila berdepan dengan orang yang tidak dikenalinya. Nini masih ingat pesan ibu dan ayahnya untuk tidak terlalu baik dengan orang yang tidak dikenali, perlu ada perasaan curiga, walau sedikit. Pemuda tersebut hanya menghantar Nini hingga menaiki bas yang menuju ke sekolahnya. Dia melambaikan tangan mengucapkan selamat tinggal kepada Nini apabila Nini telah berada di dalam bas, Nini hanya membalas dengan senyuman. Nini memerhatikan setiap langkah pemuda tersebut hingga dia hilang di sebalik bas-bas yang ada di situ.

Malam itu semasa prep, Nini menceritakan kisahnya kepada Tina. Tina mendengar dengan bersungguh-sungguh tapi tidak memberi apa-apa maklumbalas. 

Penat aku cerita, kau tak komen apa-apa pun”, kata Nini. 

Apa aku nak komen, ok la tu, entah-entah dia memang ikut kau tak?”, ujar Tina. 

Siapa ye dia tu? Aku pun tak tanya nama dia, tapi takkan aku nak tanya, malu la aku”, ucap Nini bertalu-talu dan hanya hanya disambut oleh gelak–tawa Tina. 

Walaubagaimanapun, Nini bertekad untuk tidak terlalu memikirkan perkara tersebut, kerana mungkin akan menjejaskan pelajarannya nanti. Di sekolah, Nini sering rasakan ada mata yang memerhatikannya, tetapi dia tidak pasti siapa dan dari arah mana. Selepas peristiwa di stesen keretapi tempohari, Nini tidak lagi mendengar apa-apa cerita dari Tina mengenai senior yang dikatakan. Terdetik juga di hati Nini untuk bertanya, tetapi dia tidak sanggup untuk mendengar ayat komen dari Tina.


Bulan demi bulan, kisah senior tersebut dan pemuda yang ditemui terus hilang. Setiap pulan ke kampung, Nini tidak lagi terserempak dengan pemuda itu dan Tina juga tidak lagi menyampaikan pesan si senior. Nini tertanya-tanya sendiri tapi dibiarkan sahaja kerana tak mahu pelajarannya terjejas kerana memikirkan perkara lain. SRP sudah tamat, Nini dan Tina sama-sama tak sabar menunggu keputusan dikeluarkan. Peperiksaan percubaan yang lalu, kedua-duanya mendapat keputusan yang sangat cemerlang. Tiba hari dan waktu yang dijanjikan, Nini dan Tina sama-sama ke sekolah untuk mengambil keputusan masing-masing. Dengan persetujuan ibu dan ayah Nini, dia bermalam di rumah Tina untuk memudahkan mereka ke sekolah mengambil keputusan. Ayah Tina menghantar mereka berdua ke sekolah, tapi tidak dapat menunggu lama kerana ada urusan lain. Mengalir air mata kegembiraan kedua sahabat ini kerana mereka sama-sama memperoleh keputusan yang cemerlang. 

Alhamdulillah.. syukur”, keluar ayat ini dari mulut kedua-dua mereka.

Assalamualaikum..”, seorang pemuda menyapa mereka. Tina tersenyum dan begitu juga dengan Nini, kerana mereka kenal pemuda itu. 

“Waalaikumsalam... eh! awak sekolah sini?”, tanya Nini kehairanan. 

Ya”, pendek sahaja jawapannya. 

Kenapa selama ini saya tak nampak awak pun?”, tambah Nini. 

Memang sengaja saya tak nak awak nampak saya”, ayat mudah pemuda tersebut. 

Dari tanda nama pemuda itu, Nini terbaca nama pemuda itu, M. Raziq. Tina menjelaskan bahawa senior yang diceritakan dulu adalah pemuda yang telah menolong Nini di stesen keretapi dahulu. Bermula hari itu, hubungan Nini dan Raziq menjadi erat. Umur mereka hanya berbeza setahun sahaja. Mereka sering dilihat mentelaah bersama dengan ditemani oleh Tina. Ini dapat menepis segala tohmahan jika hanya mereka berdua-duaan. Raziq menjelaskan bahawa dia memang selalu memerhatikan Nini dari jauh, kerana mungkin Nini akan menarik diri jika dia menceritakan perkara yang sebenarnya bahawa dialah senior yang dimaksudkan oleh Tina. Walaupun mendapat keputusan yang baik, Nini dan Tina terus bersekolah di situ, sasaran mereka untuk mengulangi kecemerlangan di sekolah yang sama. Penghujung tahun itu, Raziq akan menduduki peperiksaan SPM, Nini sentiasa memberi kata-kata semangat kepada Raziq. Sebelum cuti sekolah bermula, Raziq menghantar Nini ke stesen keretapi, tetapi suasana kali ini agak berbeza, mereka sama-sama merasakan akan detik terakhir pertemuan mereka. 

InsyaAllah, umur panjang kita jumpa lagi, bila-bila senang kita berbalas surat ye”, kata Raziq. Nini hanya mengangguk dan sedaya-upaya menahan sebak atas perpisahan ini, dalam hatinya tersimpan perasaan yang sukar untuk diungkapkan. Usianya baru 16 tahun dan Raziq 17 tahun, memang sangat jauh lagi perjalanan hidup mereka, dan mereka tidak pernah menjanjikan apa-apa antara satu sama lain. Bagi mereka, biarlah Allah yang menentukan segalanya.

Selesai peperiksaaan SPM, pengetua memanggil Nini, Tina dan seorang pelajar lelaki ke pejabatnya. Beliau menyampaikan berita gembira bahawa mereka bertiga terpilih untuk menyambung pengajian ke luar negara berdasarkan keputusan percubaan SPM yang lalu. 

Tahniah, kamu telah menaikkan nama sekolah ini, tempat dan universiti boleh dibincang dengan pihak penaja, kamu semua dikehendaki menghubungi mereka. Keterangan lanjut ada dalam surat tu”, kata pengetua. 

Alhamdulillah, ni la yang aku harap-harap sangat, belajar kat luar negara, sponsor penuh lagi tu”, ujar Tina. 

Nini tidak berkata apa-apa, walaupun gembira, tetapi jauh dalam hati Nini dia merasa risau untuk berjauhan dengan Raziq yang kini sedang menuntut di selatan tanahair. Atas kesibukan, mereka agak jarang berhubung, tetapi dalam hati masing-masing masih tetap mengingati antara satu sama lain. Mereka tidak mahu hanyut dalam arus perasaan kerana masing-masing faham, tanggungjawab terhadap masa depan mereka dan keluarga.


Baguslah kak long dapat tawaran tu, eloklah terima, apa proses seterusnnya?”, tanya ayah. 

Kak long kena jawab tawaran tu secara bertulis dalam masa dua minggu, ada tarikh ni”, jawab Nini seperti kurang ceria bunyinya. 

Ayah seperti terhidu permasalahan Nini. Ibu Nini pula bersikap acuh tak acuh sahaja mengenai tawaran yang Nini peroleh. Perubahan sikap ibu bermula apabila dia terbaca diari Nini. Diari tersebut secara tidak sengaja telah Nini tinggalkan di bawah bantal di rumah sewaktu pulang bercuti semasa cuti pertengahan semester yang lepas. Ibu sangat marah pada waktu itu, dan mengugut hendak memberhentikan persekolahan Nini sekiranya mereka masih berhubung. Nini rasa sangat-sangat terkongkong, dan seperti biasa, ayahlah tempat Nini mengadu. Bagi ayah, perasaan itu tidak boleh dielak, cuma nasihat ayah, Nini perlu bijak bertindak, jangan ikut perasaan, apa yang perlu buat masa ini adalah belajar untuk mencapai cita-cita Nini dan keluarga. Nini rasakan dirinya sangat bertuah kerana mendapat ayah yang amat memahami.


Setelah setahun belajar di Pusat Pendidikan Persediaan, Nini akan berangkat ke Amerika Syarikat pada minggu hadapan. Pengajian di sana selama 4 tahun untuk memperolehi Ijazah Sarjana Muda dan jika cemerlang, Nini boleh memohon untuk melanjutkan tempoh selama setahun lagi untuk menyambung ke peringkat Ijazah Sarjana. Begitu juga dengan Tina, mereka sama-sama ditempatkan di universiti yang sama, Michigan Technological University, cuma berlainan bidang. 

Empat tahun je, tak lama, insyaAllah nanti kita jumpa lagi”, ayat Raziq kali terakhir mereka bertemu di Kuala Lumpur semasa Nini dan Tina hendak menyelesaikan segala urusan pemergian mereka. 

Setahun demi setahun dilalui di negara orang, khabar berita dari Raziq semakin jarang diterima, tetapi Nini tetap setia walau tiada sebarang janji yang dipateri antara mereka. Bukan tidak ada jejaka yang menegur dan ingin berkenal rapat dengan Nini, tetapi Nini pahatkan di dalam hati bahawa dia harus memilih Raziq. Terlalu banyak kenangan antara dia dan Raziq walaupun mereka hanya sekadar berkawan, tetapi di dalam hati Nini, mereka lebih daripada itu.


******

TIGA


Hoi.. mengelamun nampak, dah sampai Malaysia ke? Dah jumpa dia?”, usik Tina.


Ayah aku suruh aku terus lagi setahun la, aku rasa macam nak balik je, empat tahun tak balik-balik ni, tapi fikir-fikir setahun bukannya lama”, panjang pula jawapan Nini, tapi bagi Tina itu tidak menjawab soalannya tadi.


Aku nekadlah, balikpun belum tentu aku jumpa dia, dah dekat setahun dia tak balas surat-surat dan poskad aku, nanti aku jugak yang menyesal kalau tersalah buat keputusan,” sambung Nini lagi.


Tina hanya tersenyum, tidak mahu turut mengusutkan pemikiran sahabatnya itu. Dia tahu, Nini matang dalam membuat keputusan. Kali terakhir Raziq menghubungi Nini adalah melalui kiriman surat kira-kira 10 bulan yang lalu. Dalam surat itu, Raziq menjelaskan bahawa dia agak sibuk dengan projek dan penulisan thesis tahun akhir. Kalau diikut perkiraan, Raziq sepatutnya telah tamat pengajian kira-kira sebulan yang lalu. Mungkinkah dia sibuk mencari pekerjaan. Nini tidak mahu terlalu kerap menghubungi Raziq kerana bimbang hanya dirinya yang bertepuk sebelah tangan. Baginya cukuplah 2 surat dan 1 poskad yang dihantar dan tidak dibalas oleh Raziq. Sekarang dia hanya perlu menunggu giliran Raziq untuk menghantar berita padanya.


Permohonan untuk melanjutkan pengajian lagi setahun di universiti yang sama diluluskan oleh JPA yang menaja keseluruhan pengajian Nini. Tetapi bagi Tina, dia tidak berhasrat untuk menyambungkan pengajiannya. Esok penerbangan Tina pulang ke Malaysia. Nini menitipkan salam sekiranya Tina berkesempatan untuk menemui Raziq. Tina hanya mengangguk, faham sangat dia dengan perasaan sahabatnya itu, dia sangat bangga dengan ketabahan dan kesabaran Nini. Kalau la dia berada di tempat Nini, dah lama dia tinggalkan Raziq, kerana Raziq tidak menjanjikan apa-apa yang pasti. Sedangkan sekeliling Nini ada jejaka yang lebih baik dan kaya yang ingin mendampinginya.


Jangan lupa pesan aku tu,” Nini mengingatkan Tina.


Beresss... InsyaAllah aku tak lupa, doakan aku selamat sampai, kau jaga diri baik-baik, aku takde ni nak hulur bahu kat kau macam selalu tu”, ucap Tina dan disambut dengan linangan air mata mereka berdua.


Mereka dilihat berpelukan, sahabat sejati yang telah bersama sekian lama, semenjak di Tingkatan 1 lagi. Kini mereka berpisah, tetapi bagi mereka berpisah hanya untuk seketika, Nini akan pulang juga ke tanahair dalam tempoh setahun dari sekarang. Dalam hati Nini, dia perlu tabah dan teruskan perjuangan ini untuk masa depan keluarganya.


Sebulan berlalu, Nini menerima sepucuk surat dari Tina. Tina sudah mula bekerja di salah sebuah firma perundingan kejuruteraan di Kuala Lumpur. Namun tidak ada cerita mengenai Raziq yang ditulis oleh Tina. Nini tertanya-tanya, tetapi cepat-cepat dia terfikir, mungkin Tina belum dapat menghubungi Raziq.


Cepat betul dia dapat kerja, aku la jugak yang masih di sini, takpe kejap je lagi, nak kena semangat ni buat kerja, biar cepat siap thesis aku ni” bisik hati Nini.


Keseorangan di negeri asing, tanpa sabahat baiknya memang amat memeritkan. Kalau dulu, Tinalah tempat Nini bercerita dan meluah rasa. Nini perlu tabah, dia sedar bahawa kesenangan itu tidak akan datang dengan mudah. Perlu ada kesungguhan yang berterusan, tidak boleh mengalah dengan apa jua rintangan yang datang.


Hah!!! Selesai juga… Alhamdulillah”, ucap Nini setelah menghantar beberapa salinan thesis ke pejabat fakultinya.


Itu adalah fasa terakhir dalam menyiapkan thesis, sebelum ini dia telah berjaya mempertahankan hujah thesisnya dalam beberapa siri pembentangan. Banyak juga persoalan yang ditimbulkan, tetapi disebabkan oleh dia telah meneliti keseluruhan aspek tajuk yang dikaji, dia berjaya menjawab kesemua persoalan tersebut, dan panel penilai amat berpuas hati dengan pencapaian Nini.


Nini sedang mengemas barang-barang untuk pulang ke tanahair dalam masa seminggu lagi. Tina telah membayar perkhidmatan kargo untuk membawa sebahagian barangnya yang ditinggalkan sementara untuk kegunaan Nini, termasuklah kereta yang Nini gunakan. Tina anak orang berada, tidak mustahil dia dapat menyediakan segala keperluan mereka sepanjang pengajian di situ. Sepanjang setahun bersendirian, Tina sering mengutus surat dan kadang-kadang menelefon Nini untuk bertukar-tukar cerita. Namun kesemua cerita-cerita tersebut bagi Nini kurang menarik jika dibandingkan cerita mengenai Raziq. Namun tidak pernah sekalipun Tina bercerita, ada juga sekali-dua Nini bertanya, tetapi Tina hanya mengatakan bahawa dia masih belum dapat menghubungi Raziq. “Sabarlah hati, kalau Allah tetapkan dia untukku, dia tidak akan ke mana” Nini memujuk hatinya.


Memang takdir itu Allah yang menentukan, tetapi manusia perlu berusaha, atas alasan itu, Nini memohon bantuan Tina untuk menjejaki Raziq melalui alamat terakhir yang ada padanya. Tina agak keberatan, macam-macam alasan yang diberikan, Nini jadi hairan, sahabat yang kebiasaanya sangat mudah untuk membantu kini tidak lagi mahu membantu. Setelah didesak, Tina membuka cerita bahawa sebenarnya Raziq telah menjalin hubungan yang agak serius dengan seorang perempuan. Cerita ini Tina peroleh apabila secara tidak sengaja Tina terserempak dengan Raziq di sebuah kedai makan. Raziq menceritakan perihal hubungannya dengan perempuan tersebut, malahan Raziq turut menunjukkan gambar mereka berdua kepada Tina.


Nabila namanya, dari gambar tu mereka nampak mesra sangat”, kata Tina.


Tina dapat melihat mata Nini berkaca, Tina juga dapat rasa apa yang Nini rasa, tapi pastinya apa yg dilihat tidak akan sama dengan merasainya sendiri.


Aku tak sangka Raziq sanggup buat kau macam tu, dia yang dulu mencari kau, lepas tu dia yang tinggalkan kau, patutnya dulu aku tak payah tolong-tolong dia dekat dengan kau. Aku minta maaf, sebenarnya aku yang bagitau dia jadual keretapi kau dulu”, Tina berusaha memujuk.


Takpe lah Tina, benda nak jadi, semuanya Allah yang tentukan kan. Aku perlu terus bersabar dan tabah. Lagipun mungkin dia anggap aku kawan je, kitorang mana pernah luah isi hati masing-masing pun. Aku je yang perasan kot.” 

Nini dengan menarik nafas untuk bangkit semula. Dia tidak mahu kecewa hanya kerana perkara seperti ini. Tetapi jauh di lubuk hatinya, dia sangat-sangat terkesan, hanya Allah yang tahu betapa terhirisnya dia mendengar cerita Tina itu. Bagi Nini, Raziq adalah orang pertama yang berjaya membuka pintu hatinya, semestinya amat sukar untuk dia lupakan. Namun, dia harus cuba untuk melupakan Raziq.


******

EMPAT


Nini, baju kau tu dah fitting semula ke belum? Nanti kalau ada apa-apa nak ubah, tak sempat pulak, lagi dua minggu tau”, bebel Tina sambil membetulkan baju yang dicubanya.


Ala..kau yang nak kahwin bukan aku, apahal aku nak fitting-fitting beria”, Nini selamba menjawab.


Kau kan pengapit aku yang cun, baju pun kena la cantik” sambut Tina disertai dengan tawa mereka berdua.


Namun sebenarnya Tina mengerti perasaan sahabatnya itu, Cuma dia tidak mahu mengungkit kisah lama. Lima tahun berlalu, Nini masih tidak boleh menerima orang baru dalam hidupnya. Puas Tina perkenalkan dengan rakan-rakannya yang dirasakan sesuai dengan Nini, tetapi semuanya Nini tolak dengan alasan belum tiba masanya. Bagi Nini, dia takut untuk dikecewakan lagi. Pedih rasanya ditinggalkan tanpa sebarang penjelasan. Tempat di hatinya masih ada nama Raziq, biarpun selama ini dia tidak tahu apa-apa mengenai Raziq, pekerjaannya, tempat tinggalnya, sudah berkahwinkah dia? Namun dia sedar, mungkin dia yang terlalu berharap, dan selama mereka berkenalanpun Raziq tidak pernah memberi sebarang harapan tentang masa depan hubungan itu. Tina hanya memerhatikan gelagat Nini, dia lebih senang membiarkan Nini bermain dengan perasaan sendiri, kerana Nini yang dikenalinya memang cekal hadapi segala dugaan dan ujian hidup.


Hah! Cantik pun anak mama,” kata auntie Salmah, ibu Tina sewaktu melihat Tini begitu anggun dengan busana pengantinnya.


Nini hanya tersenyum melihat anak dan ibu itu berbual sambil bergelak-ketawa. Mindanya disapa imbasan situasi 3 hari yang lalu.


Kak long bila pulak nak kahwin?”, keluar soalan itu dari mulut ayah Nini sewaktu dia memberitahu ibu dan ayahnya bahawa dia akan ke kampung Tina untuk meraikan perkahwinan Tina.


Tu la, dulu murah sangat jual diri tu, kecik-kecik dah pandai nak bercinta, mula la sekarang tak laku”, sinis ibunya.


Aduh! Kenapalah ibu sanggup keluarkan kata-kata yang sudah pasti akan menyakitkan hatinya. Mana perginya sifat sebagai seorang ibu yang sepatutnya memujuk anak sewaktu anaknya berduka.


Ini semua ujian Allah kepada aku hambanya yang lemah, dan pastinya Allah tidak akan menguji aku sebegini sekiranya aku tidak mampu untuk mengatasinya, pasti ada hikmah untuk semua ketentuan ini,” bisik hati Nini sendiri.


Woi, ngelamun lagi.. dah-dah la tu, kau terima je la Hakim yang aku kenalkan hari tu,” suara Tina mengganggu lamunan Nini.


Aku kata tak nak, tak nak la”, sahut Nini seperti mengulangi ayat yang sama ketika Raziq mahu mengenalinya dulu.


Eh! Macam sama je ayat tu,” sahut Tina.


Nanti aku suruh Hakim tolong angkat beg kau ye,” sambung Tina lagi sambil ketawa dan disambut dengan deraian tawa mereka berdua, auntie Salmah turut ketawa walaupun tidak begitu mengerti maksud kata-kata Tina itu.


Setelah Tina berkahwin, Nini tinggal seorang di rumah sewaannya. Sifatnya yang agak pendiam menjadikan dia tidak kisah tinggal bersendirian, bukan tidak ada teman-teman sepejabatnya yang boleh diajak sebagai teman serumah, tetapi Nini lebih senang bersendirian. Umurnya akan menginjak ke angka 30 minggu hadapan. Belasan tahun yang lalu, dia ada Tina dan Raziq untuk meraikan setiap hari ulang tahunnya, namun tahun ini hanya dia sendirian meraikannya. Tina sedang berpantang di kampung halamannya kerana  baru sahaja melahirkan anak sulung setelah dua tahun dia berumahtangga.


Pada hari lahirnya nanti Nini bercadang untuk bercuti ke Kuantan, suatu tempat yang kerap dikunjunginya bersama Tina jika mereka bercuti. Nini sukakan suasana pantai yang baginya amat mendamaikan. Walaupun ombak laut sering menghempas tepian pantai, namun baginya itu suatu luahan perasaan yang sukar diungkapkan dengan kata-kata. Laut yang luas dan tidak bertepi memberikan Nini kelapangan fikiran.


Kau jaga diri baik-baik, aku takde kat sana tu nanti ko hati-hati ye,” ucap Tina di hujung talian apabila Nini menelefon Tina semalam.


Satu lagi, cuba kau buka hati kau tu untuk terima orang lain, manalah tau jodoh kau tunggu kau kat situ,” Tina menambah dengan deraian ketawa.


Helloooooo… jangan nak merepek, kau ingat aku ni terdesak sangat ke? Takkan nak kutip macam tu je,” jawab Nini juga sambil ketawa.

******


bersambung di Tabahkah Aku 1

No comments:

Post a Comment

Silakan kongsi sebarang idea dan pendapat...